Skuad Selangor FC berdepan ‘ujian pertama’ sebelum aksi separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini apabila waktu tidur mereka sedikit terganggu angkara bunga api.

Menerusi perkongsian di laman instagram oleh seorang lelaki yang dipercayai pegawai perubatan Selangor FC, @Hazwan_khair, beliau meluahkan tidak dapat tidur gara-gara kerana bunyi letupan kuat berpunca daripada bunga api di hotel penginapan mereka.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 3.00 pagi sekaligus menggangu waktu tidur para pemain Selangor yang memerlukan rehat secukupnya sebelum turun menentang JDT malam ini.

Bagaimanapun, perang psikologi itu tidak menjejaskan semangat skuad Selangor untuk memburu keputusan positif dan mereka tekad pamer persembahan terbaik.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar beliau di SSI dengan ‘scoreboard’ di stadium berkenaan memaparkan keputusan JDT menewaskan Selangor 5-0.

Menurut ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, ia adalah perkara biasa dalam bola sepak dan beliau yakin pemainnya tidak terjejas dengan situasi seperti itu.

“Itu adalah perang psikologi dan semestinya saya rasa pemain Selangor sudah tahu dan sedia maklum mengenai perang psikologi itu.

“Saya berasa pemain memiliki pengalaman yang terbaik kerana kita juga ada pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan dan berpengalaman.

“Jadi saya harap itu sebagai satu cabaran untuk kami dan yang penting kami tidak ada sebarang gangguan emosi pemain apabila menentang JDT nanti,” kata Tan Cheng Hoe dipetik dalam Berita Harian.

JDT memiliki rekod baik berdepan Selangor dengan pertembungan terakhir kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super pada Mac lalu menyaksikan Harimau Selatan menang dengan jaringan besar 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).